PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu kerana disyaki memberi suapan bagi mengeluarkan laporan kesihatan membabitkan dua warga asing yang berada di depoh tahanan di Miri, Sarawak.
Menurut sumber, suspek pertama berusia 30-an yang merupakan orang tengah kepada syarikat terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM Miri, kelmarin, selepas dipercayai melakukan perbuatan itu pada Februari dan Mac 2020.
“Manakala suspek kedua seorang lelaki berusia 40-an yang merupakan pemilik syarikat pula dipercayai ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam.
“SPRM dipercayai masih menyiasat bagaimana kedua-dua suspek berjaya mengeluarkan laporan perubatan tersebut tanpa memerlukan kehadiran warga asing untuk diperiksa secara bersemuka sedangkan mereka ditahan di depoh tahanan,” katanya tadi.
Perintah reman bagi suspek pertama ialah selama tiga hari bermula 11 hingga 14 Mei 2023, manakala suspek kedua pula selama dua hari bermula hari ini hingga 14 Mei 2023.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi di Mahkamah Majistret Miri.
Sementara itu Pengarah SPRM Sarawak, Mohd. Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE