BERN, Switzerland – Sekumpulan saintis dari Universiti Zurich mempekenalkan model penyelidikan baharu menunjukkan bahawa Bumi sememangnya berbentuk bulat dan bukan rata, lapor portal berita MailOnline semalam.
Model itu meramalkan masa yang diperlukan untuk sebuah pesawat terbang di antara dua bandar selepas mengira jarak antara lokasi tersebut.
Jika sebuah pesawat terbang ke utara dari Perth, Australia selama tujuh jam, ia akan mendarat di Hong Kong, manakala penerbangan ke barat dalam tempoh sama akan mendarat di Mauritius.
Bagaimanapun, jika Bumi berbentuk rata, penerbangan selama tujuh jam ke arah barat hanya akan membawa pesawat separuh perjalanan ke Mauritius.
“Kami menemui kaedah yang agak mudah untuk membuktikan sama ada Bumi berbentuk rata atau tidak,” kata pengarang kajian, Dr. Michael Wolf.
Kajian itu diterbitkan sebagai kertas kerja oleh Rangkaian Penyelidikan Sains Sosial, iaitu pasukan saintis yang berpangkalan di Switzerland.
“Ia adalah sains matematik semata-mata dan tidak bergantung pada andaian fizikal asas atau paradigma ideologi,” tambah Wolf. – Agensi