PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan empat buah negeri dan dua Wilayah Persekutuan sehingga 7 malam ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Perak, Pahang, Selangor, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala lumpur dan Putrajaya.
“Perak antaranya di kawasan Larut, Matang dan Selama, Pahang di Tanah tinggi Cameron, Selangor antaranya di Klang, Gombak dan Petaling,” katanya.
Dalam masa sama, di Sarawak pula melibatkan kawasan Sarikei, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE