KEM silat negara ‘lulus’ ujian apabila tampil cemerlang dengan menyumbang empat pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023 meskipun membariskan lebih 70 peratus atlet muda.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengakui berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas gelanggang silat tutup tirai rasmi di Pusat Konvensyen Chroy Changvar kelmarin.
Kata Megat Zulkarnain, pengorbanan yang dipamerkan oleh barisan atlet sangat luar biasa, sekali gus berjaya membantu pasukan mengatasi sasaran awal dua pingat emas yang ditetapkan pada bulan lepas.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan yang cukup memberangsangkan bukan sahaja atlet menyumbang pingat emas, malah mereka yang tersingkir awal juga memberikan petanda positif buat kami.
“Ada dalam kalangan mereka telah berkorban jiwa dan raga untuk bertarung di atas gelanggang seperti Nor Farah Mazlan yang patah tangannya sehari sebelum pertarungan.
“Namun, dia berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil apabila merekodkan kemenangan dan situasi sama buat Norsyakirah Muksin yang kita tahu dia bukan hadir daripada keluarga yang senang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berharap kejayaan yang dipamerkan oleh kem silat negara dapat menjadi titik permulaan untuk menghadapi masa depan lebih cerah selepas pesilat senior seperti Mohd. Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir bersara.
“Kita telah membubarkan skuad negara selepas berakhir kejuaraan dunia di Melaka tahun lalu dan kini memberi peluang buat pesilat muda yang saya percaya percaturan tersebut membuahkan hasil,” katanya.
Sepanjang saingan di Kemboja, Norsyakirah mempamerkan kebangkitan untuk mendominasi acara bawah 45 kilogram (kg) Putri selepas menewaskan pilihan dari Indonesia, Suci Wulandari.
Nor Farah turut cemerlang apabila meraih kemenangan percuma selepas lawannya dari Singapura Nadhrah Sahrin dibatalkan penyertaan susulan melanggar peraturan dalam kategori final 45-50kg.
Muhammad Izzul Irfan Marzuki pula berjaya meraih pingat emas ketiga bagi acara tempur setelah menumpaskan jaguh Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada 39-33 dalam kategori 60-65kg.
Satu lagi pingat emas dibutir menerusi gandingan adik-beradik kembar, Danial Azray Noorazizan dan Danial Azrol Noorazizan menerusi acara ganda putera.