SEBERANG PERAI – Seorang pemuda sempat menyelamatkan diri selepas sebuah bilik sembahyang agama Hindu di rumah dua tingkat, Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, di sini terbakar, pagi tadi.
Semasa kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang juga penghuni kediaman dikatakan tinggal seorang diri manakala kedua ibu bapanya keluar bekerja.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Damanhuri Abdul Karim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada pukul 9.09 pagi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi pemadaman api turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bertam.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan rumah dua tingkat kelas A. Terdapat seorang penghuni lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang terlebih dahulu sempat menyelamatkan diri.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran sebuah bilik sembahyang itu adalah sebanyak 25 peratus. Punca sebenar kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE