TANAH MERAH – Seorang pengedar dadah yang dipercayai sedang menunggu pelanggannya sempat membuang bungkusan berisi 600 biji pil kuda bernilai RM6,000 sebelum dicekup di Jalan Alor Pasir, Kampung Bukit Mas, di sini malam tadi.
Suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semasa berada di atas sebuah motosikal di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, menyedari kehadiran anggota polis, lelaki terbabit secara tiba-tiba membuang bungkusan yang dipegangnya ke tanah.
Menurutnya, anggota polis kemudiannya menahan suspek yang merupakan seorang penganggur, namun tidak menemui barangan salah bersamanya.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan berdekatan menjumpai satu bungkusan yang mengandungi 600 biji pil kuda yang dipercayai akan dijual kepada pelanggannya.
“Ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – KOSMO! ONLINE