KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk memfailkan pembelaan dalam masa tiga minggu berhubung saman RM67.46 juta yang difailkan oleh sebuah syarikat pemborong barang kemas, Global Royalty Trading SAL.
Peguam, Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika dihubungi berkata, perkara itu ditetapkan sewaktu pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Rini Triany Muhamad Ali hari ini.
“Mahkamah mengarahkan agar pembelaan tersebut difailkan sebelum atau pada 2 Jun ini. Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes lanjutan pada 7 Jun di hadapan timbalan pendaftar sama,” katanya.
Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lalu dengan menamakan Rosmah, 71, selaku defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah, 71, telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia.
Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
Sementara itu, plaintif berkata berdasarkan Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh Rosmah bertarikh 22 Mei 2018, beliau mengakui bahawa barang kemas itu berada dalam simpanannya, dan kemudian disita oleh Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan.
Global Royalty berkata, adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.
Bagaimanapun plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Justeru syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barangan kemas itu hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE