PUTRAJAYA – Rayuan Sultanah Nur Zahirah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah baginda terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain berkaitan kenyataan fitnah, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 22 September ini.
Tarikh itu ditetapkan selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Zuhrina Nor hari ini yang turut dihadiri oleh peguam Haikaldin Mahyidin mewakili Clare manakala S. Manisha mewakili Sultanah Terengganu.
Pihak-pihak diarahkan memfailkan penghujahan bertulis pada 23 Ogos dan membalasnya sebelum 7 September ini.
Sultanah Nur Zahirah merayu keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee pada 31 Oktober 2022 yang memutuskan Clare dan dua lagi tidak tidak memfitnah baginda dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.
Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman tersebut pada 21 November 2018. Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.
Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare telah membuat pernyataan memalukan yang memberi gambaran baginda terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Terengganu mendakwa kenyataan itu juga memberi gambaran baginda telah menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan tersebut telah memfitnah dan merosakkan reputasi baginda kerana pihaknya tidak pernah mencampuri pentadbiran negeri dan penubuhan TIA. – KOSMO! ONLINE