fbpx

Mahkamah: Bicara ditangguh, Rosmah hantar representasi gugur 17 pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi perbicaraan hari pertama kes ubah wang haram dan pengelakan cukai. Foto Shidiqqin ZON.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan hari pertama kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai lebih RM7 juta yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan di Mahkamah Tinggi, di sini.

Hakim K.Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah untuk perbicaraan itu ditangguhkan.

Ini kerana peguam itu berkata, pihaknya baru menghantar representasi pada 3 Mei lalu untuk menggugurkan kesemua 17 pertuduhan yang didakwa ke atas Rosmah.

“Dalam representasi itu, kami telah membangkitkan fakta tertentu daripada perbicaraan Rosmah sebelum ini melibatkan projek solar di mana Rosmah telah disabitkan,” katanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan pihaknya telah menerima surat representasi tersebut.

“Pihak pendakwaan memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk meneliti representasi yang dikemukakan kerana pihak pembelaan telah membangkitkan perkara perundangan yang serius dalam surat tersebut. Pihak pendakwaan tiada bantahan untuk melapangkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos ini prosiding seterusnya.

“Pada tarikh itu, pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah status representasi itu sama ada diterima atau ditolak. Sekiranya representasi ditolak, mahkamah akan meneruskan dengan perbicaraan,” kata hakim itu.

Justeru tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu hari ini, 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, dan 11 Ogos ini dilapangkan.

Sebelum ini perbicaraan yang dijangka mengambil masa selama 14 hari itu akan didengar di hadapan hakim Muniandy yang mana menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan, Rosmah, 72, didakwa 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Pada April lalu, Rosmah menarik balik rayuannya berhubung permohonan menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Untuk rekod, pada 1 September tahun lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI