fbpx

Kerajaan negeri pertimbang peruntukan ADUN pembangkang – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY ketika ucapan penggulungan dalam sidang DUN Pahang penggal kedua kali ke-15 di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Kerajaan negeri akan mempertimbang memberikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang seperti yang dititahkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun peruntukan secara berkala itu tidak akan sama dengan jumlah peruntukan diterima oleh wakil rakyat daripada kerajaan negeri.

“Kita cadang nak bagi secara berkala, lepas itu akan ada lagi (peruntukan). Kita menjunjung titah Tuanku Pemangku Raja Pahang, ketika Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin lalu.

“Kita tetap berikan cuma tidaklah sama dengan kerajaan, kena ada perbezaan. Ini perkara biasa dan ianya tidak dapat dinafikan. Tidak berlaku (dalam kerajaan) peruntukan sama (antara ADUN pembangkang dan kerajaan),” katanya dalam ucapan penggulungan Sidang DUN Pahang penggal kedua di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15, Isnin lalu, Tengku Hassanal bertitah agar Kerajaan Negeri memberikan peruntukan yang adil kepada ADUN pembangkang negeri ini.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, sepatutnya tidak timbul isu sama ada pemberian itu disebabkan ianya titah atau tidak sebagaimana dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka).

Jelas beliau sebelum titah Pemangku Raja Pahang lagi kerajaan negeri ada memberikan peruntukan RM5,000 kepada wakil rakyat pembangkang ketika bulan Ramadan lalu.

“Memang ada dalam perancangan tetapi tidaklah setiap bulan, perlu ada tanda aras supaya ada ukuran bagi mendapatkan butiran terperinci, sekata tidak macam negeri lain yang ada ADUN dapat dan ada tidak.

“Berkaitan peruntukan kepada pembangkang ini kita akan bawa kepada perbincangan bersama exco. Saya tidak boleh beri kelulusan sewenangnya kerana ia melibatkan duit kerajaan negeri, kena tengok implikasi kepada kewangan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan rakyat malah sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada rakyat negeri ini secara berterusan meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa memilih bangsa, agama mahu pun parti politik.

“Malah di kawasan DUN pembangkang sekali pun, kerajaan negeri akan tetap salurkan bantuan ini walaupun pengundi di kawasan tersebut tidak memilih kami pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai kerajaan.

“Walaupun peruntukan tidak disalurkan terus kepada ADUN pembangkang, tetapi bantuan-bantuan ini tetap sampai kepada rakyat yang disalurkan menerusi menteri besar sendiri, xxco kerajaan negeri, penyelaras DUN serta pejabat daerah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI