PHNOM PENH – Pelumba berpengalaman, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki membuktikan dirinya memang ‘pakar’ dalam acara lebuh raya selepas meraih pingat emas pada acara lepas beramai-ramai individu lelaki pada saingan Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi.
Nur Amirul yang sebelum ini meraih pingat perak untuk acara kriterium lelaki mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mendominasi perlumbaan sejauh 150.6 kilometer (km) yang berlangsung di Angkor Wat, Siem Reap itu.
Pelumba berusia 31 tahun itu berjaya memastikan emas milik Malaysia selepas merekodkan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat untuk menewaskan wakil Indonesia, Aiman Cahyadi di tempat kedua dan jaguh Filipina, Ronald Oranza di tempat ketiga.
Sebagai rekod rekod, Malaysia merupakan penyandang emas untuk kategori ini selepas Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff meraih emas pada acara yang sama di Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi tahun lalu. – KOSMO! ONLINE