PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui masih lagi menerima secara purata hampir 400 aduan kes berkaitan masalah rumah tangga pada setiap bulan melalui MyCareJakim.
Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jakim, Mohd. Norizan Abd. Ghani berkata isu rumah tangga kritikal yang paling majoriti diterima pihaknya dan sangat membimbangkan adalah kes melibatkan suami culas bayar nafkah tanggungan.
Katanya, sejak MyCareJakim diperkenalkan pada April 2020 ketika Covid-19, pihaknya menerima lebih 10,000 aduan.
“Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus melibatkan kes untuk khidmat nasihat kaunseling syarie dan terapi psikospiritual dengan kebanyakan berkisar isu rumah tangga,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir menyaksikan sesi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Jakim bersama Mercy Mission Malaysia, di sini hari ini.
Tambahnya, ketika diperkenalkan bersama KSKCareCentre, ramai mengadu tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mereka tiada pendapatan dan kehilangan kerja.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, jumlah panggilan diterima kebelakangan ini sudah pun turun dan ia mungkin disebabkan peralihan kepada era pemulihan pasca pandemik pada tahun lepas. – KOSMO! ONLINE