PETALING JAYA – Genap 18 bulan pemergian bapa tercinta, pelakon terkenal, Liyana Jasmay kini kehilangan ibunya, Datin Habsah Simpon yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser CNS limfoma di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 8.30 pagi tadi.
Khabar memilukan itu disahkan sendiri, Liyana juga penerbit itu menerusi aplikasi WhatsApp kepada Kosmo! Online.
Sementara itu, pengurus Liyana, Norhazwani Jamil, berkata , Habsah sebenarnya sudah disahkan menghidap CNS limfoma atau Central nervous system (CNS) yang memasuki tahap empat sejak dua bulan lalu.
“Allahyarham yang berusia 66 tahun disahkan menghidap CNS limfoma tahap empat sejak dua minggu lalu ditempatkan di HKL mendapatkan rawatan.
“Kesihatan arwah didapati menurun semalam apabila menjadi semakin lemah. Nyata Allah lebih menyayanginya.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pagi Jumaat, penghulu segala hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Kanser CNS limforma adalah barah yang mempengaruhi sistem limfatik di otak hingga ke sumsum tulang belakang pesakit.
Terdahulu, penyanyi Aku Tak Percaya Cinta itu meluahkan penghargaan terhadap ibunya atas pengorbanan meninggalkan bapa serta ahli keluarga lain bagi menemaninya menyambung pengajian di New York, Amerika Syarikat sekitar 2012.
Allahyarham digambarkan sebagai wanita serta emak yang hebat apabila mendedikasikan hidupnya untuk keluarga terutama dirinya selaku anak bongsu.
Sepanjang menceburi arena hiburan pada usia 1997 hingga telah bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Liyana sentiasa diiringi Allahyarham ke mana-mana yang turut bertindak sebagai pengurus.
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Ampang Jaya, selepas solat Jumaat, petang ini.
Jenazah kini dibawa ke kediaman allahyarhamah di Kemensah dan dijangka akan disolatkan di Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini.
Terdahulu, arwah bapanya, Datuk Jasmay Md. Shah, menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun akibat penyakit kanser paru-paru pada 17 Disember 2021.
Selain Liyana, 35, Habsah dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Juzaili Jasmay, 46, Faradilla Jasmay, 43 dan Adriana Jasmay, 41.
Meninjau dalam Instagram, aktres Papadom
itu turut mengulang semula hantaran takziah rakan seperjuangan yang rata-rata mendoakan ketabahan buat Liyana sekeluarga yang sedang berdepan ujian kehilangan besar ketika ini. – KOSMO ONLINE