CETEK pengalaman tidak menjadi halangan buat atlet muda negara untuk tampil cemerlang pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 dengan kejayaan mereka yang berjaya menyumbangkan kilauan pingat emas.
Antara yang mencuri perhatian pada edisi kali ini adalah pemain golf remaja berusia 15 tahun, Ng Jing Xuen yang melakar sejarah tersendiri apabila menjadi atlet memenangi emas acara individu wanita di Kelab Golf Garden City, Phnom Penh.
Selain Jing Xuen, seorang lagi atlet berusia 15 tahun, Lee Yiat Qing turut membuktikan ‘usia sekadar angka’ apabila mendominasi acara terjun kategori platform wanita kelmarin.
Malah, kem silat negara turut cemerlang apabila beberapa pesilat muda yang rata-rata berusia bawah 23 tahun turut berjaya menyumbangkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Mereka yang baru menyertai temasya Sukan SEA dalam karier seperti Norsyakirah Muksin, Nor Farah Mazlan dan gandingan Danial Azray Noorazizan dan Danial Azrol Noorazizan berjaya mempamerkan kematangan tersendiri di atas gelanggang.
Seorang lagi atlet muda yang mencipta sensasi tersendiri pada penyertaan pertama Sukan SEA adalah pemenang pingat emas acara 400m lelaki, Umar Osman sehingga berjaya pecahkan rekod 22 tahun kebangsaan.
Ketua kontinjen (CDM) Sukan SEA ke-32 negara, Datuk Mohd. Nasir Ali mengakui cukup teruja apabila risiko yang diambil sebelum ini membuahkan hasil kerana ‘gelombang’ atlet muda di Kemboja sangat menyerlah.
“Nampaknya usaha kita untuk memberikan pendedahan buat barisan atlet muda sangat berbaloi kerana prestasi mereka bukan sahaja memuaskan, tapi ada dalam kalangan mereka berjaya sumbangkan pingat emas.
“Sebagai contoh, kita berjaya meraih pingat emas dalam acara terjun dan golf individu wanita meskipun diwakili oleh atlet berusia 15 tahun.
“Situasi ini menunjukkan kita tidak ketandusan atlet pelapis dan perjuangan mereka di Kemboja membuktikan ada cahaya baharu dalam arena sukan tempatan,” katanya semalam.
Pada Sukan SEA kali ini, Malaysia menghantar 676 atlet pada kejohanan sukan paling berprestij Asia Tenggara yang akan melabuhkan tirai pada 17 Mei depan.