LONDON – Bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Neymar semakin kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada jendela musim panas ini selepas dilaporkan bosan beraksi di Ligue 1 Perancis.
Kapten Brazil itu berdepan siri kecederaan sepanjang musim ini apabila hanya membuat 20 penampilan pada saingan liga menyebabkan PSG sudah bersedia melepaskan khidmatnya dengan nilai serendah £44 juta (RM247.60 juta).
Laporan media menyebut bahawa PSG mahu melepaskan khidmat Neymar bagi tujuan untuk memulihkan semula struktur aliran tunai kelab berkenaan dan bersedia mendengar tawaran daripada kelab yang berminat.
Perpindahan keluar dari Paris itu merupakan perkara yang dianggap terbaik untuk Neymar ketika para peminatnya juga merasakan bahawa dia perlu mencari angin baharu untuk memulihkan semua kariernya.
Beberapa pasukan di EPL antaranya Manchester United, Chelsea dan Newcastle dilaporkan menjadi antara pasukan yang berminat dan mampu untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun berkenaan.
Sepanjang menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 dengan nilai £198 juta (RM1.1 bilion), Neymar sudah membuat 124 penampilan dan musim depan menyaksikan gergasi Perancis itu merancang untuk melakukan rombakan besar-besaran.
Biarpun memiliki dua lagi pemain bintang selain Neymar iaitu Lionel Messi dan Kylian Mbappe, mereka masih gagal untuk mendapatkan gelaran Liga Juara-Juara. – AGENSI