fbpx

Ekonomi negara catat pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 (S1 2023), lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, negara serantau lain seperti Indonesia mencatatkan pertumbuhan ekonomi iaitu 5 peratus, China 4.5 peratus dan Vietnam 3.3 peratus bagi tempoh yang sama.

Katanya, prestasi pertumbuhan S1 2023 menyumbang kepada sasaran mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun ini antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus.

“Pertumbuhan S1 2023 juga lebih baik berbanding S1 2022 sebanyak 4.8 peratus. Dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada S1 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada suku ke empat 2022 (S4 2022),” katanya menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Jelasnya, prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2023 disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi pertumbuhan berasaskan luas merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 7.3 peratus dan pembuatan sebanyak 3.2 peratus.

“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” ujarnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pasaran buruh terus mencatat momentum pertumbuhan pada S1 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran 3.5 peratus berbanding S4 2022 pada 3.6 peratus.

Tambahnya, kadar inflasi pada S1 2023 pula telah menyederhana kepada 3.6 peratus berbanding S4 2022 iaitu 3.9 peratus, antaranya berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan.

“Kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mac lalu terus mencatat trend penurunan kepada 3.4 peratus berbanding Februari lalu iaitu 3.7 peratus, lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat dan Indonesia (5 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dijangka menyederhana pada tahun ini berikutan permintaan luar yang lebih perlahan akibat daripada perdagangan global yang semakin lemah.

Ujarnya, ketegangan geopolitik, tekanan harga yang tinggi dan keadaan kewangan yang lebih ketat juga akan terus menjejaskan prospek ekonomi dunia.

Sementara itu, berhubung perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem yang mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun ini, Anwar berkata, ia dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan pembinaan.

“Di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global ini, kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan kami sebanyak 4.0 peratus hingga 5.0 peratus untuk tahun ini, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2023.

“Kerajaan akan terus mengutamakan menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sambil menumpukan usaha untuk mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI