BEIJING, China – Satu klip video yang menunjukkan seorang budak lelaki China mengaku membawa gelang emas ibunya ke tadika untuk diberikan kepada kekasih hatinya, menjadi tular di internet, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Dalam klip itu, seorang budak lelaki dilihat mengaku kepada ibunya bahawa dia membawa barang kemas milik wanita berkenaan berharga hampir AS$1,540 (RM6,892) ke sekolahnya.
Si ibu tertawa ketika ‘menyoal siasat’ anaknya. Klip video itu mencuit hati ramai netizen dan mencetuskan sensasi di media sosial.
Si ibu berkata, seorang guru memberitahu tentang tindakan anaknya selepas dia melihat kanak-kanak tersebut membawa gelang emas itu ke tadika berkenaan di Wilayah Autonomi Mongolia, pedalaman China.
Menurut ibunya itu, dia terperanjat dengan tindakan anaknya.
Gelang emas itu adalah hadiah daripada bapa kanak-kanak itu kepada ibunya.
Apabila ditanya mengapa dia membawanya ke sekolah, budak lelaki itu menjawab bahawa dia ingin memberikannya kepada teman wanitanya sebagai hadiah. – Agensi