PETALING JAYA – Video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki bermain simulator kereta lumba bukan individu sama yang terlibat dalam kemalangan Toyota Vios yang berlaku di Langkawi baru-baru ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh ibu bapa kanak-kanak terbabit yang tampil di ruangan komen video tular itu.
“Budak ini ke? Kalau awak cakap budak ini (bermakna) awak dah fitnah,” tulisnya di ruangan kapsyen video berkenaan.
Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit di Facebooknya berkata, terdapat individu tidak bertanggungjawab memuat naik kembali video anaknya yang sedang bermain permainan simulator dan menulis kapsyen seolah-olah anaknya yang terlibat dengan kejadian di Jalan Bukit Tangga, Langkawi itu.
“Kat Tiktok dah kena padam. Mak cik Kepoh ini buat pasal, habis ‘viral’ yang bukan-bukan.
“Maaf ya, kami tiada kaitan dengan budak viral Langkawi itu. Kami tiada Vios,” katanya.
Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikesan memandu Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga pada Selasa lalu.
Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli permainan.
Video kemalangan terbabit tular dengan orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya. – KOSMO! ONLINE