PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang blogger bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah satu projek bernilai kira-kira RM41 juta di sebuah kementerian.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman itu selama dua hari bermula hari ini selepas SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki yang mempunyai ramai pengikut di media sosial itu dipercayai menerima rasuah berjumlah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat sekitar tahun 2020.
“Permintaan dan pembayaran rasuah itu dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat terbabit berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.
“Difahamkan, selain daripada isu jenayah rasuah, SPRM juga akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek ini dilaksanakan,” katanya tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 16 ASPRM 2009. – KOSMO! ONLINE