PAPAR – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan melecur di bahagia kepala serta kaki ekoran terlibat dalam kebakaran sebuah rumah di Pekan Lama Kimanis hari ini.
Mangsa, Raid Syakif kemudiannya dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut oleh keluarganya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.25 pagi.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan Papar digerakkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman satu aliran dan dua pancutan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba,” dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa bayi berusia empat bulan melecur di bahagian kepala dan kaki dilaporkan oleh penyelia operasi.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi. Operasi terkawal pukul 9.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE