KUALA KANGSAR – Sebuah bas ekspres dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sembilan kenderaan di Kilometer 256.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini petang tadi.
Kejadian sekitar pukul 4.30 petang itu menyebabkan kesesakan sehingga 10 kilometer (KM) sebelum Terowong Menora menuju Kuala Kangsar.
Ketika kejadian, bas membawa 22 penumpang itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kamunting, Taiping.
Difahamkan, kesemua penumpang bas terselamat tanpa sebarang kecederaan manakala mangsa lain yang cedera ringan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.
Sementara itu @Plustrafik dalam ciapannya di Twitter pada pukul 5.53 petang memberitahu, nahas tersebut mengakibatkan kedua-dua lorong terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja pengalihan.
Kesesakan sehingga 10KM berlaku menuju ke Kuala Kangsar sebelum semua lorong kembali dibuka kepada kenderaan pada pukul 6.57 petang. – KOSMO! ONLINE