KOTA TINGGI – Seorang lelaki di Felda Lok Heng Timur di sini yang sudah tiga tahun terlantar masih tidak mengetahui penyakit yang dihadapinya.
Mohd. Firdaus Sahak, 36, berkata, dia tidak boleh berjalan selepas terjatuh sebanyak dua kali di dapur dan rawatan imejan resonans magnetic pun tidak dapat mengesan penyakit tersebut.
“Kali terakhir saya terima rawatan hospital pada tahun lalu, doktor meminta air tulang belakang saya, tetapi ibu tidak izinkan.
“Sejak itu saya tidak dirawat di hospital dan kini hanya menjalani rawatan secara tradisional. Rata-rata mengatakan saya alami masalah saraf,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, selepas tidak boleh berjalan, kakinya mulai membengkak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.
Bapa dua anak itu berkata, ibunya, Jaliah Othman, 70, serta adiknya yang menguruskan dirinya.
Katanya, usaha memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dilakukan dan sedang diproses.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat milik Mohd. Firdaus 22033 149 1341.