fbpx

Anak lari, ah long ugut keluarga bakar rumah, simbah najis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHONG (kiri) bercakap kepada pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Ipoh Timur, di sini hari ini.

IPOH – Sepasang suami isteri yang tinggal di Taman Desa Pengkalan, di sini, hidup dalam ketakutan selepas diganggu ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long akibat perbuatan anak lelaki mereka yang meminjam wang daripada pihak terbabit.

Ibu kepada lelaki itu, Khong, 54, diugut ah long yang mahu membakar kediamannya selain menyimbah najis sekiranya dia tidak membayar pinjaman anak mereka.

“Anak saya berusia 31 tahun. Sebelum ini, memang pernah berhutang dengan ah long dan kami pernah langsaikan hutang anak lebih RM5,000,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Ipoh Timur, di sini hari ini.

Khong berkata, sebelum ini dia mengambil masa lapan hingga sembilan bulan untuk membayar hutang anaknya itu secara ansuran.

Menurut Khong, tabiat meminjam anak sulungnya itu bermula sejak 10 tahun lalu dan masih berterusan hingga melarikan diri pada 14 April 2021.

“Selepas dia menghilangkan diri ada beberapa ah long dari tiga syarikat menghubungi saya dan menuntut kami menjelaskan hutang berkenaan.

“Ini termasuk beberapa ugutan menyebabkan saya terpaksa membuat kenyataan di akhbar mengenai perkara itu selain laporan di Balai Polis Pekan Baharu kerana tidak tahan dengan gangguan mereka,” katanya.

Khong berkata, Rabu lalu, dia menerima ugutan menerusi panggilan termasuk melalui aplikasi WhatsApp agar melunaskan pinjaman yang dilakukan anaknya atau individu terbabit menularkan muka anaknya itu.

“Saya merayu kepada individu yang meminjamkan wang kepada anak saya supaya tidak menganggu keluarga kami memandangkan kami tidak lagi berhubungan dengan anak kami sejak dua tahun lalu.

“Sekarang saya sudah tiada wang untuk membantunya lagi. Saya juga tidak tahu anak saya berada di mana malah saya bimbang kalau nyawa saya dan suami terus terancam,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Ipoh Timur, Yeong Seng Hoong berkata, wanita berkenaan datang membuat aduan ke pejabatnya mengenai perkara itu, Rabu lalu.

“Kami nasihatkannya untuk membuat laporan polis dan berharap siasatan polis dapat membantu keluarga ini. Dalam kes seperti ini, ah long sepatutnya mencari penghutang dan bukan secara terus mengganggu ahli keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI