JITRA – Seorang wanita warga emas berdepan ujian berat sekali lagi apabila disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat pada tahun lalu selepas pernah menderita kanser ovari, enam tahun sebelum itu.
Menurut Fadzilah Ahmad, 67, dia didiagnos menghidap kanser ovari pada 2017 sebelum menjalani pembedahan dan rawatan kimoterapi pada 2018.
“Pada 2022, doktor memaklumkan kanser sudah merebak ke paru-paru pula dan sekarang bergantung kepada ubat-ubatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Jalai, di sini semalam.
Fadzilah yang tidak mempunyai anak kini menjalani kehidupan seharian bersendirian bersama 10 kucing kesayangannya.
Katanya, dia memilih untuk hidup sendirian setelah kematian suami sejak 25 tahun lalu kerana tidak mahu menyusahkan adik-beradik lain.
“Biarlah saya sendiri bertemankan kucing-kucing ini, sampai masa Tuhan ‘jemput’ saya pergi,” ujarnya.
Katanya, biarpun tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta zakat berjumlah RM700 sebulan, namun ia cukup menampung kehidupannya.
“Makan saya tak kisah sangat, kadangkala tanak nasi dan goreng telur pun dah cukup,” ujarnya.
Tambahnya, dia menghabiskan masa beramal ibadah termasuk berzikir dan membaca al-Quran bagi menghilangkan kesunyian itu.
“Al-Quran ini memang menyembuh banyak penyakit, insya-Allah apabila amalkan, hati jadi tenang kerana kesakitan yang teruk itu datangnya daripada hati,” katanya.
Mereka yang ingin membantunya boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun BSN miliknya 02002-41-000051064 atas nama Fadzilah Ahmad.