KUALA SELANGOR – Perjalanan pulang seorang pekerja Pos Malaysia berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 41 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Assam Jawa, di sini, semalam.
Kejadian pukul 1 tengah hari itu berlaku ketika lelaki berusia 24 tahun yang menunggang Yamaha 15 berkenaan dipercayai menuju ke rumahnya di Taman Penggawa, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan baru habis bekerja di Pejabat Pos cawangan Klang.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggangnya dipercayai bergesel sebuah lori lalu terjatuh di jalan tersebut.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Norasyikin Roslan, di talian 010-2621743. – KOSMO! ONLINE