IPOH – Banda raya Ipoh mencatatkan peningkatan dalam sektor pelancongan sebanyak 10 kali ganda setakat April tahun ini selepas Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) ditamatkan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, seramai 50,000 orang mengunjungi Ipoh dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding hanya 4,600 pada tahun sebelumnya.
“Sebelum pandemik, pelancong luar negara yang datang ke Ipoh hanya sekitar 4,600 orang namun setakat April, sudah ada 50,000 orang. Ini sudah menunjukkan peningkatan 10 kali ganda.
“Hujung tahun ini saya pasti kita akan memperoleh lebih daripada itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Tourism Promotion Organization (TPO) Joint Promotion Presentation, di sini semalam.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak mahu meletakkan sasaran namun berharap 500,000 pelancong akan mengunjungi bandar raya ini.
Rumaizi berkata, sektor pelancongan di banda raya Ipoh telah melebihi 80 peratus termasuk sektor penginapan dan pengangkutan.
“Ini juga merupakan kali kedua Ipoh menjadi lokasi mesyuarat pelancongan Asia Pasifik dan antara wakil yang hadir termasuk Busan, Korea Selatan, Sanya (China), Ho Chi Minh City (Vietnam), Pariaman (Indonesia) serta Taiping dan Kuantan. – KOSMO! ONLINE