SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 1 tan dadah jenis pil ekstasi bernilai lebih RM78 juta di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini Sabtu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri telah menahan sebuah kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan itu kira-kira pukul 9 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kontena terbabit diisi dengan 20 unit pemampat senyap piston (silent compressor).
“Pemeriksaan lanjut menemui sebahagian unit itu telah diubah suai ruang dalamannya untuk menyembunyikan bungkusan berisi pil-pil dadah terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, kontena itu dibawa masuk dari negara Eropah dan kita kini sedang mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran ini,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang di sini petang ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bertindak sebagai ejen dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jelasnya lagi, operasi terbabit adalah kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia bagi tahun ini. – KOSMO! ONLINE