MADRID – Tonggak pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger mendakwa jentera serangan Manchester ‘langsung tidak bahaya’ walaupun memiliki Erling Haaland.
Biarpun seri 1-1 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu awal pagi semalam, tetapi Rudiger, 30, berpuas hati kerana berjaya ‘merantai’ pergerakan Haaland sepanjang tempoh 90 minit.
Justeru, bek tengah Jerman itu melaungkan amaran bersedia menyingkirkan The Citizens daripada pentas Liga Juara-Juara di hadapan para penyokong mereka dalam aksi timbal balik di Etihad pada 18 Mei ini.
“City terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan gol penyamaan. Sebenarnya kami yang sepatutnya mendapat jaringan tambahan, tetapi ia bukan satu masalah besar dan tunggu di Manchester nanti.
“Mereka tidaklah begitu bahaya seperti digembar-gemburkan. Benar mereka yang menguasai perlawanan, tetapi secara keseluruhan ia tidak begitu berbahaya,” kata Rudiger.
Juara Eropah itu membuka tirai jaringan menerusi Vinicius Junior di separuh masa pertama sebelum Kevin De Bruyne menyamakan kedudukan.
Bagi Real, aksi final Liga Juara-Juara berlangsung di Ataturk Olympic Stadium di Istanbul, Turki pada 10 Jun depan adalah peluang terbaik untuk mengubati kekecewaan selepas gagal menjuarai La Liga.
Los Blancos ketika ini jatuh ke tangga ketiga, satu mata di belakang Atletico Madrid dan 14 mata ditinggalkan pendahulu, Barcelona. – AGENSI