fbpx

Sita, batal lesen penyewa premis warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa MPK menjalankan pemeriksaan di Pasar Besar Meru, Klang, Selangor.

KLANG – Tindakan sitaan, batal premis dan lesen akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyewakan premis kepada warga asing termasuk di Pasar Besar Meru, di sini.

Pengarah Pengurusan Pasar dan Penjaja Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azhar Samsudin berkata, setiap peniaga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan pihaknya itu.

“Kita akan mengeluarkan notis akan batal kepada peniaga yang ingkar dan perlu menjawabnya dalam tempoh tujuh hari.

“MPK akan mengambil tindakan sitaan serta-merta dan pembatalan premis dan lesen akan dilakukan ke atas penyewa yang menyewakan premis kepada warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan penguatkuasaan lemah didakwa menjadi faktor utama lambakan warga asing yang kini menguasai ekonomi negara seperti menjadi penjaja di ibu negara dan negeri lain.

Malah, sebelum ini MPK memberikan tempoh enam bulan kepada puluhan peniaga warga asing bagi memberhentikan operasi perniagaan mereka di Kompleks Pasar Besar di sini.

Azhar menegaskan MPK turut membuat bancian dan mengenal pasti peniaga di Pasar Besar Meru.

Ujarnya, hasil bancian itu mendapati semua pemegang lesen adalah warga tempatan manakala warga asing yang berada di premis berkenaan adalah pembantu.

“Kita mensyaratkan hanya warganegara  layak memohon premis dengan menjalankan proses penyewaan melalui iklan dan proses temuduga dihadiri Ahli Majlis dan wakil jabatan dalaman.

“Manakala keputusannya diperakui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Taksiran MPK,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azhar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi mengenai isu peniaga asing di pasar dan menjalankan tindakan tegas ke atas peniaga yang menyewakan premis mereka bagi mengaut keuntungan.-KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI