fbpx

Selera Cina Muslim di Sungai Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI ALZAINAH dan suami, Muhammad Alif Chin mengusahakan Aisyah Delicious Kitchen, satu-satunya restoran Cina Muslim di Sungai Besar, Sabak Bernam.

KELEMBUTAN isi ikan siakap, ditambah dengan keharuman aroma limau purut mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.

Keserasian gabungan rempah dengan rasa masam, manis dan pedas melengkapkan lagi keenakan masakan tradisional etnik Nyonya tersebut.

Masakan yang sesuai dimakan bersama nasi putih itu dihidangkan di Aisyah Delicious Kitchen, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

Ikan stim nyonya merupakan antara hidangan paling laris yang sering menjadi pilihan pelanggan yang menjamu selera di restoran tersebut.

Restoran yang baru dibuka pada November tahun lalu itu merupakan milik pasangan Siti Alzainah Salleh, 44, bersama suami, Muhammad Alif Chin, 44.

Lebih menarik, Aisyah Delicious Kitchen merupakan satu-satunya restoran Cina Muslim di kawasan Sungai Besar. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada masyarakat di Sungai Besar untuk merasai masakan Cina tanpa perlu khawatir tentang status halalnya.

Biarpun mengakui keputusannya untuk membawa kelainan di kawasan perkampungan Melayu berisiko, namun mereka melihatnya sebagai satu peluang perniagaan.

“Kami sudah lakukan tinjauan di kawasan sekitar dan kami dapati tidak ada satu pun restoran Cina Muslim di sini.

“Dari situ, kami dapat ilham untuk membuka satu kedai makan yang berkonsepkan sajian Cina Muslim sebagai kelainan di tempat ini.

Antara hidangan menarik ditawarkan kepada pengguna.

“Alhamdulillah, setakat ini, penerimaan masyarakat setempat dan dari luar agak memberangsangkan,” kata mereka yang meletakkan nama anak sebagai nama kedai.

Demi memastikan masakan Cina tersebut autentik, Siti Alzainah mempelajari resipi-resipi masakan daripada seorang cef restoran Cina dari Pulau Pinang bernama Vincent.

Sedikit olahan turut dilakukan pada masakan tertentu bagi memastikan makanan yang dihidangkan sesuai dengan status halal.

Menurut Siti Alzainah, minatnya terhadap masakan menjadikannya teruja untuk menjadi ‘jambatan’ kepada budaya masyarakat setempat dan budaya Cina di Sungai Besar.

“Olahan yang saya lakukan tidak banyak. Ini lebih kepada sumber sos kerana cef Vincent banyak menggunakan sos import dari China.

“Saya dapatkan sos serupa yang halal untuk mengikut kesesuaian kita sebagai Muslim. Selain itu, kesemua resipi masih kekal seperti original

“Sebelum ini, saya mengubah nasi ayam stim Cina kepada ayam goreng kerana masyarakat kampung di sini lebih suka ayam goreng,” ujarnya yang sebelum ini membuka gerai nasi ayam selama sembilan tahun.

Selain daripada ikan stim nyonya, antara masakan yang menjadi signatur restoran itu adalah udang lipan cili kering dan sotong telur masin.

Melihat kepada penerimaan yang memberangsangkan, Siti Alzainah berhajat menambah menu masakan Cina lain seperti ketam cili Singapura.

Namun hajatnya itu masih lagi belum terlaksana ekoran daripada peningkatan harga barang mentah di pasaran tempatan.

“Kami sedar bahawa sukar untuk menjual makanan dengan harga mahal di sini kerana kawasan kampung.

“Lebih-lebih lagi apabila makanan ini agak asing bagi penduduk setempat. Jadi, semuanya kami lakukan secara berperingkat. Kami juga berharap bukan sahaja boleh menarik masyarakat setempat, malah pelancong asing yang bercuti di Sungai Besar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI