KUALA LUMPUR – Masih dihantui trauma berdepan serangan yang nyaris membawa maut, Kamal Adli mengakui sedia ‘turun’ ke Singapura apabila dipanggil memberikan keterangan dalam perbicaraan di mahkamah.
Suami kepada pelakon Uqasha Senrose itu bersedia mengenepikan perasaan takut semata-mata mahu mendapatkan kepastian mengenai punca diperlakukan dengan kejam si penyerang terbabit.
“Kalau diberi pilihan saya memang tak mahu pergi ke sana (Singapura) buat sementara waktu kerana masih belum hilang trauma.
“Tetapi kalau diperlukan, saya akan beri kerjasama. Sebagai mangsa saya memang mahu pelaku itu diadili dengan hukuman setimpal.
“Sewaktu dipukul, saya ada tanya sebab apa dan dia senyap. Kerana itu saya tidak puas hati dan polis pula tidak menjelaskan secara terperinci, cuma memaklumkan berkaitan isu peribadi.
“Saya hanya menunggu perbicaraan dan berharap dapat jawapan, adakah dia sendiri atau ada orang hantar untuk pukul saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli itu berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program terbitan Astro, Mega Spontan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pertama kali keluar berdepan media selepas berkurung hampir dua bulan di rumah, Kamal mendedahkan insiden tersebut turut menjejaskan kerjaya dan kehidupannya.
Luah Kamal lagi, dia terlalu takut apabila berada di tempat umum selain hilang kepercayaan terhadap orang sekeliling.
“Saya tidak pernah rasa trauma sebelum ini, tapi bila terkena baru tahu rasanya bagaimana sampai jadi takut keluar rumah dan tidak membuat apa-apa hantaran di media sosial.
“Rasanya sangat tidak seronok disebabkan saya lebih banyak berkurung di rumah. Saya pula jadi macam suri rumah, isteri keluar bekerja. Sepanjang dua bulan ini saya terpaksa lupakan beberapa tawaran kerja yang telah dipersetujui,” katanya.
Terdahulu, pada 13 Mac lalu Kamal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, muka, bawah mata dan badan selepas diserang seorang lelaki berusia 34 tahun menggunakan cota besi di Singapura.
Bintang drama Selepas Terlepasnya Akad itu kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan dan menjalani pembedahan.
Susulan kejadian tersebut, penyerang berusia 33 tahun itu dikenakan dakwaan di Mahkamah Negeri Singapura pada 14 Mac lalu atas tuduhan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman berkenaan. – KOSMO! ONLINE