fbpx

Peruntukan diminta baiki jalan Persekutuan tidak pernah cukup – Wan Rosdy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ROSDY pada sesi pertanyaan lisan sempena mesyuarat pertama penggal ke-2 Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Kekangan peruntukan yang tidak mencukupi diberikan kerajaan Persekutuan menjadi faktor utama menyebabkan masih banyak jalan-jalan Persekutuan di negeri ini tidak dapat diselenggara.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap tahun kerajaan negeri membuat permohonan diperlukan tetapi peruntukan yang diberi sentiasa tidak mencukupi.

“Ramai orang awam yang salahkan kerajaan negeri, kita memohon peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan selepas melakukan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya negeri tetapi dari dulu lagi tidak dapat peruntukan seperti yang kita perlu.

“Jadi sudah tentu ada jalan yang tidak dapat dibaiki dengan kadar segera, jalan negeri bertambah baik kerana ada peruntukan khas diberikan tetapi Jalan Persekutuan memang teruk sebab tidak ada peruntukan tambahan seperti yang kita minta, ini halangan kita,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Andansura Rabu (Pas-Beserah) pada sesi pertanyaan lisan sempena mesyuarat pertama penggal ke-2 Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri terus membangkitkan isu ini dalam usaha mendapatkan peruntukan sewajarnya termasuklah dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Besar mengenai masalah air dan jalan baru-baru ini.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peruntukan yang diterima bagi membaiki Jalan Persekutuan di Pahang pada 2021 adalah sebanyak RM157.6 juta berbanding permohonan yang diminta sebanyak RM250 juta.

Katanya pada 2022 pula peruntukan baik pulih jalan yang diterima ialah RM132.6 juta berbanding jumlah permohonan sebanyak RM391.4 juta.

“Jumlah yang dimohon itu sesuai kerana Pahang mempunyai lebih 6,000 kilometer jaringan jalan raya yang mana 3,000 kilometer adalah jalan negeri dan 3,000 kilometer lagi Jalan Persekutuan.

“Kalau tidak dapat peruntukan yang diperlukan sudah pasti kerja-kerja penyelenggaraan tidak boleh dilakukan seperti yang kita sasarkan, ini yang perlu pembangkang dan orang ramai tahu dan sebarkan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI