KUALA LUMPUR – Pengalaman hidup dalam persekitaran penuh jenayah mematangkan penyanyi juga komposer popular Mark Adam mengambil pendekatan bertenang biarpun menanggung kerugian ratusan ribu akibat ditipu seorang kontraktor pembinaan.
Katanya, kesukaran yang dilalui di Cebu, Filipina membuatkan dirinya memilih untuk berdamai dengan takdir apabila terpaksa mendapatkan khidmat kontraktor lain meneruskan projek pembinaan rumah mentuanya.
“Memang ramai bertanya kenapa saya tidak ambil tindakan kepada penipu tersebut. Saya tak mahu kecoh-kecoh. Perkara ini juga jadi pengajaran serta ujian yang kena saya terima.
“Saya datang dari kampung yang sangat ganas. Sejak kecil sudah berdepan kejadian ngeri termasuk nampak orang mati di depan mata. Saya sendiri nyaris tiga kali mahu dibunuh seseorang.
“Jadi sekarang saya mahu ketenangan, enggan memperbesarkan lagi isu tersebut. Biarlah hujung nanti mereka pun kena jawab di akhirat. Sekarang saya dan isteri meneruskan projek rumah itu secara beransur-ansur.
“Ada pihak yang mahu tolong. Apabila ada duit kami beli barang, kemudian mereka buat kerja binaan. Harap-harap dapat disempurnakan tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Indigital Music & FYP Media baru-baru ini.
Dalam masa sama, Mark yang juga guru muzik itu turut berharap kejadian yang menimpanya tidak berulang kepada orang lain.
Menurutnya lagi, keinginan menyediakan kediaman selesa buat ibu bapa mentuanya sudah diimpikan sekian lama namun perkara itu tidak setara dengan budi baik mereka.
Mengimbas masa lalu, dedah komposer berusia 43 tahun itu, kedua-dua orang tua isterinya, Norazah Redzuan atau Ezan melayaninya dengan baik sejak mereka belum mendirikan rumah tangga lagi.
Biarpun tidak mempunyai pekerjaan dalam tempoh dua tahun tahun perkahwinan mereka, mentua memberikannya tempat berteduh selain menanggung makan minumnya tanpa sebarang syarat.
“Ibu bapa mentua tidak pernah memandang serong terhadap saya walaupun saya tiada kerja. Mereka melayani saya dengan baik malah dua minggu sebelum berkahwin saya dipelawa duduk di rumah mereka kerana tiada tempat tinggal.
“Walaupun bangun lewat, sekali pun bapa mentua tidak pernah marah. Sebaliknya, suruh saya pergi makan setiap kali bangun tidur. Selepas bergelar suami, dua tahun saya tidak bekerja kerana agensi saya bekerja ditutup.
“Sekali lagi keluarga mentua bantu dan langsung tak pernah bersungut. Mana nak cari insan sebaik mereka. Sebab itu saya mahu membalas jasa mereka dengan membina kediaman selesa.
“Walaupun ditipu kontraktor, nilai yang saya laburkan tidak setanding dengan kebaikan diberikan kepada saya selama ini,” katanya.
Terdahulu, sekitar awal tahun ini Mark meluahkan rasa terkilan selepas kontraktor yang diamanahkan membina kediaman untuk mentuanya melarikan diri hingga kerja pembinaan terbengkalai. – KOSMO! ONLINE