fbpx

Pengembaraan solo di Kyoto dan Osaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELBAGAI tempat menarik boleh dilawati pelawat di Kyoto dan Osaka.

SEBAGAI pengembara solo wanita, Jepun sering menjadi pilihan pertama kerana ia diiktiraf sebagai antara negara paling selamat di dunia.

Dalam pengembaraan selama 10 hari di Jepun baru-baru ini, saya memilih untuk menerokai kota Osaka dan Kyoto yang kaya dengan gabungan elemen tradisional dan moden.

Destinasi pertama saya di Kyoto ialah Hutan Buluh Arashiyama yang terkenal dalam kalangan pelancong luar dan domestik Jepun.

Selain daripada deretan hutan buluh, saya juga melawat tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tenryu-ji yang berada dalam jarak berjalan kaki.

Bagi menerokai juadah tempatan yang segar dan autentik, saya melawat ke Pasar Nishiki atau digelar sebagai ‘Kyoto’s Kitchen’.

Saya juga berkesempatan melawat seni bina ikonik, Fushimi Inari Taisha iaitu sebuah kuil yang terkenal dengan beribu-ribu pintu torii (gerbang tradisional Jepun). Dengan pendakian mengikuti deretan gerbang torii yang memakan masa 40 minit, saya tiba ke puncak gunung Inariyama yang memaparkan panorama memukau.

Selepas empat hari tinggal di Kyoto, saya kemudian bertolak ke Osaka pada hari kelima dengan menaiki kereta api.

Saya sempat melawat ke beberapa tempat untuk melihat bunga sakura di Osaka seperti Taman Kema Sakuranomiya.

Destinasi yang penuh dengan bunga sakura mekar ini paling sesuai untuk dilawati pada musim bunga iaitu hujung Mac hingga awal April.

Bunga-bunga sakura yang berkembang mekar di sekeliling tasik di Taman Kema Sakuranomiya, Osaka.

Saya juga melawat Istana Osaka iaitu istana lima tingkat yang telah dibina selama lebih 400 tahun dan pernah terselamat daripada beberapa siri peperangan.

Saya kagum melihat betapa banyak usaha yang dilakukan pihak berkuasa tempatannya untuk memulihkan muzium-muzium dan menerangkan kisah di sebaliknya kepada orang ramai.

Selain itu, pencinta makanan seperti saya tidak melepaskan peluang untuk melawat Pasar Kuromon Ichiba.

Pasar makanan besar ini popular dalam kalangan pelancong untuk makan makanan laut segar dan daging lembu wagyu. Saya menghabiskan beberapa jam di sini hanya untuk merasai pelbagai makanan seperti ketam dan landak laut.

Selepas itu, saya berjalan ke Namba Center yang terkenal dengan gabungan bangunan serta latar belakang kehijauan.

Sebelum terbang pulang ke Malaysia, saya bersiar-siar di sekitar Dotonbori dan Shinsaibashi yang merupakan syurga beli-belah dengan pilihan butik mewah dan butik mampu milik.

Seperti pelancong lain, saya mengambil kesempatan untuk berswafoto di hadapan Papan Iklan Glico. Pada waktu malam, jalan sepanjang kedua-dua kawasan itu begitu meriah dengan lampu neon, papan tanda mewah dan pelbagai restoran.

Pengalaman melancong secara solo di negara yang memiliki kekangan bahasa sememangnya memiliki cabaran tersendiri. Namun, pandangan saya terhadap dunia menjadi lebih luas dengan memori indah yang akan selamanya dikenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI