ISLAMABAD – Krisis politik Pakistan menjadi semakin buruk lewat semalam dengan lebih banyak protes ganas diadakan, manakala kerajaan mengerahkan tentera ketika bekas perdana menteri, Imran Khan direman selama lapan hari berhubung dakwaan rasuah baharu.
Imran ditangkap kelmarin semasa pendengaran rutin kesnya di Islamabad. Beliau dibawa ke sebuah lokasi rahsia.
Kebangkitan tersebut termasuk penangkapan beramai-ramai penunjuk perasaan berlaku selepas krisis politik di Pakistan berlarutan selama berbulan-bulan. Ia menyaksikan Imran yang ditumbangkan pada April tahun lalu, melancarkan kempen penentangan terhadap tentera Pakistan.
“Jika mereka fikir menangkap Imran Khan akan melemahkan moral kami, mereka silap besar. Kami berdiri bersama beliau sampai mati,” kata seorang penyokong, Niaz Ali di Peshawar di mana sebilangan monumen dan bangunan kerajaan dibakar.
Kabinet semalam meluluskan kerahan tentera di dua wilayah dan di ibu negara, Islamabad untuk mengembalikan keamanan, kata pejabat Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan.
Di bandar terbesar di Pakistan, Karachi, pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata untuk mengusir penyokong parti politik pimpinan Imran, Parti Tehreek-e-Insaf (PKI), manakala penyokong PTI bertempur ganas dengan polis di Islamabad dan bandar-bandar lain. – AFP