fbpx

Musuh tidak senang dengan kedudukan UMNO – Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan musuh UMNO dilihat terus cuba membina propaganda negatif ekoran tidak senang dengan kedudukan parti itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, permainan persepsi itu diasak sepanjang masa sehingga membentuk suatu realiti yang berbahaya dalam pemikiran rakyat.

Menurut Zahid, musuh UMNO juga dilihat sanggup mengenepikan agenda kestabilan negara dan digantikan dengan kebencian serta dendam.

“Musuh tersebut terus ghairah menanam perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat terutama anak-anak muda yang baru sahaja bersemangat dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.

“Daripada usaha memajukan masyarakat mendepani cabaran abad ke-21, sebaliknya kita telah kembali kepada budaya politik lapuk dan ketinggalan zaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihak musuh juga sengaja memejamkan mata dan membiarkan anak muda terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan.

“Semuanya demi laba dan kuasa, bukan demi rakyat dan negara.

“Justeru, bagi mengembalikan Malaysia kepada landasan yang betul, kita semua perlu melihat ke dalam diri sendiri dan menginsafi tanggungjawab dalam masyarakat,” ujarnya.

Tambah Zahid, kesejahteraan negara bukan semata-mata ditentukan kerajaan dan pemimpinnya, tetapi oleh pilihan dan tindakan berjuta rakyat.

Sementara itu, Zahid turut mengucapkan sambutan ulang tahun UMNO ke-77 yang mana parti itu akan menunjukkan jalan teladan dalam menjayakan politik baru yang lebih matang dan bermakna.

“Selamat menyambut ulang tahun UMO dengan muhasabah diri, kesyukuran dan keinsafan untuk membina masa depan UMNO lebih gemilang.

“Di depan api, di belakang duri, UMNO tidak pernah gentar mengharungi cabaran dan masa depan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI