KUALA LUMPUR – Tugas sukar menanti Harimau Malaya apabila diundi menentang juara Asia dua kali, Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar.
Undian itu pastinya meresahkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam merencana strategi bagi memastikan skuad negara berjaya melepasi peringkat kumpulan pada kejohanan bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Ini kerana Malaysia masih belum berjaya mara ke pusingan kalah mati dalam tiga penampilan terakhir di pentas Piala Asia pada edisi 1976, 1980 dan 2007.
Pada majlis undian sebentar tadi, tuan rumah Qatar yang menjuarai edisi 2019, diundi bersama China, Tajikistan dan Lebanon dalam Kumpulan A, manakala Australia, Uzbekistan, Syria serta India beraksi di Kumpulan B.
Dua gergasi Asia iaitu Iran dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) akan berentap semasa sendiri selain Hong Kong serta Palestin dalam aksi Kumpulan C.
Laluan juara empat kali, Jepun yang mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022, dilihat lebih mudah apabila berdepan dua wakil Asia Tenggara, Vietnam dan Indonesia serta Iraq dalam aksi Kumpulan D.
Satu lagi wakil Asia Tenggara iaitu Thailand pula diundi bersama Arab Saudi, Kyrgyzstan dan Oman dalam kumpulan terakhir iaitu Kumpulan F. – KOSMO! ONLINE