MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri hari ini melancarkan kod QR Prih@tinJkmMelaka bagi membolehkan sebarang aduan dan masalah dibuat terus secara dalam talian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Datuk Kalsom Noordin berkata, inisiatif yang diambil oleh JKM itu bertujuan menambah keberkesanan sistem perkhidmatan sedia ada.
Katanya, orang ramai kini boleh membuat aduan dan memberikan sebarang maklumat berkaitan penderaan kanak-kanak, warga emas yang hidup terbiar, anak yatim, semakan status Orang Kelainan Upaya (OKU), bantuan kewangan dan sebagainya.
“Hari ini orang ramai sudah boleh buat sebarang bentuk aduan, maklum balas dan sebagainya dengan hanya mengimbas kod QR yang boleh didapati di laman sosial Facebook JKM Melaka.
“JKM negeri memberi jaminan sebarang masalah dibuat secara dalam talian akan selesaikan dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja,” katanya selepas melancarkan Kod QR Prih@tinJkmMelaka di pejabat JKM negeri, Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun kod QR diperkenalkan, namun medium sedia ada menggunakan talian telefon dan kaedah bersemuka di mana-mana pejabat kebajikan di negeri ini masih terpakai untuk sebarang aduan dikemukakan.
“Menggunakan kod QR ini amat mudah kerana orang ramai hanya melengkapkan borang dengan mengisi butiran seperti nama, alamat, daerah, no telefon dan isu serta masalah yang hendak dikemukakan.
“Penggunaan kod QR ini juga membolehkan orang ramai mendapat maklumat yang betul, tepat dan benar, jadi saya harap masyarakat akan memanfaatkan kemudahan disediakan sebaik mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE