fbpx

JBPM sahkan pelaku salah guna pili bomba di Kelantan dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - FOTO MEDIA SOSIAL

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan pihaknya mengeluarkan kompaun melibatkan isu tular kecurian air pada pili bomba di Kelantan baru-baru ini.

Menerusi kenyataan Bahagian Pengurusan Korporat JBPM hari ini berkata, penalti dikeluarkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh JBPM negeri itu.

“Pelaku, Tuan Salehuddin Tuan Mat dikompaun menurut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu kesalahan penyalahgunaan pili bomba,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, status kes tersebut telah selesai di luar mahkamah dan pelaku mengaku salah serta membayar kompaun RM100 pada 8 Mei lalu.

JBPM menegaskan bahawa mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) , ia adalah melakukan suatu kesalahan jika didapati sengaja menggunakan pili selain tujuan menentang kebakaran.

“Malah adalah salah sekiranya sesiapa menutup, mengepung atau menyembunyikan pili sehingga tempat itu sukar dipastikan atau mengganggu mana-mana pili bomba,” katanya.

Tambahnya, Seksyen 23 (1) Akta 341 juga menerangkan bahawa tiada seorang pun selain pihak berkuasa air boleh melakukan kerja menjejaskan pili itu atau aliran air kepadanya.

Pihak berkuasa air juga kena memberikan notis bertulis berkaitan kerja dilakukan kepada Pengarah JBPM negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum kerja itu boleh dimulakan.

Walau bagaimanapun, dalam situasi kecemasan pula, kerja itu boleh dilakukan terlebih dahulu tetapi notis hendaklah dikemukakan dengan segera kepada pengarah berkenaan.

Justeru kenyataan itu menambah, apa-apa kerja yang menjejaskan aliran air ke pili bomba turut perlu mendapat kelulusan dan persetujuan Pengarah JBPM negeri secara bertulis bagi memastikan operasi pemadaman kebakaran tidak terjejas.

“JBPM menasihatkan mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan air pili sebagai cara penyelesaian isu kekurangan bekalan di kawasan tertentu, jika masyarakat terdesak memerlukan bekalan air, mereka hendaklah memohon mengikut saluran ditentukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI