fbpx

Hamzah akui beri keterangan di SPRM petang tadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah.

PETALING JAYA – Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akui telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi bagi memberi keterangan berkait satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam satu kenyataan sebentar tadi, Hamzah menjelaskan keterangan itu dibuat bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 petang oleh pegawai SPRM susulan pertuduhan ke atas seorang ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah hari ini.

Jelasnya, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya, jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin Bersatu dan PN.

“Saya percaya, ini kerana mereka bimbang dengan kekuatan PN, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

“Saya juga faham ada pihak tertentu panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat pemimpin tertentu,” katanya.

Terdahulu pada pagi tadi, Choo Thiam mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Mengikut empat pertuduhan rasuah, lelaki berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu antara Jun dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PN.

Pertuduhan itu adalah untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, tambah Hamzah, agak janggal namanya disebut dalam pertuduhan itu ketika dirinya tidak pernah terbabit dalam sebarang urusan.

Katanya, bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan itu, ia menyebut suapan adalah mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?

“Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya.

“Ini siri fitnah untuk menekan orang-orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya,” jelasnya.

Sementara itu, Hamzah turut mengucapkan tahniah atas perlanjutan kontrak khidmat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, untuk tempoh setahun lagi, selain percaya perlanjutan ini tiada muslihat tertentu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI