PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu dengan pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung isu laporan tidak diambil tindakan.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menetapkan tarikh janji temu bagi pertemuan tersebut untuk dapat diadakan segera dalam masa terdekat.
“Saya akan jumpa Menterinya, Anthony Loke Siew Fook untuk terang berhubung isu ada ratusan laporan tiada tindakan oleh beberapa agensi MOT,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Dewan Sri Satria yang turut dihadiri 2,000 tetamu, di sini hari ini
Pada 9 Mei lalu, Azam mendedahkan lebih 500 laporan salah laku yang melibatkan MOT walaupun SPRM mengesyorkan tindakan diambil antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan.
Siew Fook dalam reaksi balasnya pada hari sama berkata, dia bersedia berjumpa Azam bagi mendengar sendiri penjelasan kerana tiada pun maklumat yang diterimanya.
Mengulas lanjut, Azam menambah, pihak SPRM tiada masalah untuk mendedahkan dengan lebih terperinci berhubung isu tersebut untuk tindakan susulan pihak terbabit.
Menyentuh penyambungan kontrak selama setahun lagi bermula esok, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan terhadap dirinya.
Malahan beliau berjanji akan meneruskan iltizam bagi memerangi gejala rasuah yang masih wujud dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak berkepentingan. – KOSMO! ONLINE