PHNOM PENH – Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara terbabit pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 di Stadium Nasional, Morodok Techo sebentar tadi.
Atlet kelahiran Sabah berusia 24 tahun itu melakukan catatan 16.06 meter untuk menewaskan dua wakil Filipina, Ronnie Auxilio Mapilay dikedudukan kedua manakala Mark Harry Aloto Diones melengkapkan kedudukan podium.
Ini adalah kali kelima berturut-turut Malaysia dapat menang acara lompat kijak sejak edisi 2015 hingga 2019 menerusi Hakimi Ismail.
Kata Andre, saingan kali ini agak sukar kerana cuaca panas di dalam stadium menyukarkan atlet untuk beri yang terbaik pada setiap lompatan.
“Saya telah cuba yang terbaik dan berharap untuk pecahkan rekod kebangsaan di sini, namun, ia tidak berjaya dilakukan. Namun, saya sangat gembira dengan kemenangan yang diraih,” katanya yang menjadi penyumbang pingat ke-24 Malaysia. – KOSMO! ONLINE