PETALING JAYA – “Dialah (Uwais) orang terakhir yang bersetuju untuk saya berkahwin semula.”
Demikian respons pelawak Shuib tentang anak sulungnya, Uwais Alqarni yang menjadi orang terakhir untuk bersetuju bapanya ingin menamatkan status duda bersama wanita pilihan, Watie Hanifiah.
Sebelum memutuskan untuk berkahwin dengan Watie, 35, Shuib menyatakan bahawa proses persetujuan mengambil masa panjang untuk membawa masuk orang baharu dalam keluarganya.
“Prosesnya agak lama sampailah saya berani untuk memberitahu niat untuk berkahwin.
“Setiap perkara penting berlaku memang saya akan kongsikan bersama mereka (anak-anak).
“Meskipun masih kecil, tetapi saya rasa mereka cepat dewasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka FYP Media dan Indigital Music malam tadi.
Mengulas mengenai kecaman netizen yang tidak bersetuju Shuib berkahwin lain, penyampai radio Sinar FM itu menegaskan tindakannya adalah berdasarkan kepentingan anak-anak.
Dia juga mahu membesarkan anak-anak lebih-lebih lagi perkara tersebut merupakan permintaan daripada Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
“Kalau orang mahu kecam, berbalik kepada niat. Memang saya buat semua untuk anak-anak dan keluarga.
“Memikul tanggungjawab sebagai bapa bukan mudah lagi-lagi apabila sudah mempunyai anak kecil.
“Kalau untuk diri sendiri mungkin saya akan terus membujang tapi saya pilih untuk anak-anak kerana arwah mahu saya besarkan mereka dengan cara baik,” tuturnya.
Baru-baru ini, Shuib menamatkan teka-teki apabila selamat mengikat tali pertunangan bersama wanita pilihan, Watie Hanifiah.
Menerusi perkahwinan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12, Dzahira Talita Zahra, 10, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan berusia setahun lima bulan.
Pada 8 Ogos 2021, industri hiburan tanah air digemparkan dengan berita kematian Siti Sarah akibat jangkitan Covid-19. – KOSMO! ONLINE