fbpx

UPSI, UniSZA meterai MoA dengan SOAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Razak (dua dari kanan), Md. Amin (kanan) dan Naib Canselor UniSZA, Professor Dr. Fadzli Adam Fadzli (dua dari kiri) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani di SOAS, Universiti London, London semalam.

TANJUNG MALIM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan School of Oriental and African Studies (SOAS) Universiti London untuk mempromosi bahasa Melayu di Eropah.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sebagai institusi pendidikan terulung yang berusia 100 tahun, UPSI sentiasa mencari ruang untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Katanya, ia sekali gus menjadikan pusat pengajian tersebut sebagai rujukan pendidikan di rantau ini terutamanya untuk kepentingan memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan hasrat universiti memartabatkan kebitaraan pendidikan.

“UPSI yang terletak di Tanjung Malim mempunyai sejarah panjang sejak dari zaman prakemerdekaan telah menjadi pusat perkembangan pejuang kemerdekaan dan ilmuan orang Melayu daripada kalangan rakyat jelata,”

“Menerusi semangat yang diinspirasikan dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan 1922, kini UPSI menyimpan pelbagai khazanah untuk dikembangkan layarnya ke benua Eropah menerusi kajian dan penyelidikan di fakulti-fakulti, pusat bahasa mahupun Institut Peradaban Melayu yang sudah bertapak di bumi Muallim,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani (MoU) berkenaan di SOAS University London di London, Britain semalam.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, jalinan kerjasama dimeterai itu adalah untuk menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk mengantarabangsakan pusat pengajian pendidikan tinggi Malaysia serta hab pembangunan bakat.

Menurutnya, langkah itu sekali gus mengembangkan bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.

“MoU antara kedua-dua pihak memberi fokus terhadap pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar antara kedua-dua institusi dan perkhidmatan serta kerjasama dalam penyelidikan.

“Ia juga melibatkan serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang bahasa lingua franca tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI