PETALING JAYA – Memilih untuk mendiamkan diri sepanjang bergelar isteri kedua pengarah Syamsul Yusof, Ira Kazar rupa-rupanya kian mengasah bakat di dapur.
Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin menunjukkan skil memasak dan mendapat pujian daripada kakak kandungnya, Yasmin Kazar.
“Tak sangka sedapnya Ira Kazar masak,” kongsi Yasmin menerusi perkongsian dalam Instastory.
Turut disertakan adalah sekeping foto juadah disediakan Ira, 28, iaitu sotong tumis.
Sehingga kini, anak kepada pelakon senior, Kazar Saisi itu terus mengunci mulut selepas bergelar isteri kepada Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof awal Januari lalu di Thailand.
Rentetan kemelut rumah tangga yang tercetus, madunya, Puteri Sarah bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atas keterlanjuran kata yang berlaku sebelum ini.
Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, dia sekali-kali tidak akan menarik balik kes saman berkenaan.
Disebabkan itu, perceraian yang sepatutnya berlaku melibatkan Sarah dan Syamsul sebelum ini tidak dapat direalisasikan atas sebab-sebab tertentu termasuk keputusan pelakon drama rantaian, Andai Itu Takdirnya meneruskan hasrat menyaman madunya. – KOSMO! ONLINE