fbpx

Selangor hilang 600,000 ekor ayam setahun, desak subsidi sekata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muzamri (tiga kiri) beramah mesra dengan Leong Tuan (dua kiri) serta Jamaludin ( paling kanan) pada majlis tersebut.

KUALA SELANGOR – Selangor telah kehilangan pembekalan ayam hampir 600,000 ekor setahun apabila penternaknya gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasinya.

Situasi diburukkan apabila pembahagian subsidi kerajaan sebanyak 80 sen bagi seekor ayam yang tidak sekata dengan 70 sen diberikan kepada pihak integrator (syarikat pembekal) dan selebihnya 10 sen kepada penternak.

Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Selangor, Muzamri Soib berkata, penternak ayam adalah golongan berisiko kerana perlu menampung pelbagai kos seperti makanan, ubatan, penyelenggaraan reban di samping kesukaran mendapatkan pekerja dalam bidang ternakan.

Katanya, musim penghasilan ayam juga telah menurun kepada empat musim berbanding tujuh sebelum ini.

“Kita mempunyai 71 penternak berdaftar dengan 20 peratus daripadanya ada terkesan dan gulung tikar. Mereka ini mengeluarkan 100,000 ekor semusim.

“Kami risau sekiranya berterusan termasuk pembahagian subsidi tidak sekata menyebabkan ramai ‘merobohkan’ reban,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu beliau hadir majlis rumah terbuka Persatuan Penternakan ayam Selangor yang turut disertai Setiausaha Persatuan Penternak Haiwan Negeri Johor Utara, Lim Leong Tuan dan Pengerusi Persatuan Penternak Melayu Pahang, Jamaludin Abd. Ghani di De Palma Eco Resort di sini.

Muzamri turut memberitahu berdasarkan data Jabatan Perangkaan bahawa kos menternak ayam adalah RM6.40 sekilogram manakala dengan harga jualan ladang RM5.70.

Justeru, kata beliau, adalah wajar pembahagian sekata atau 50 peratus bagi setiap integrator dan penternak dilakukan bagi konsep menang-menang.

“Perkara telah berulang kali dipanjangkan kepada Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan namun dipandang sepi.

“Ini membuat kami jelas kecewa dan terkilan yang menjejaskan operasi dan pembekalan bukan sahaja di Selangor malah seluruh negara,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI