fbpx

Peranan besar IPTA, LPU bangunkan semula kepercayaan kepada sistem pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) bersama Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof.Dr. Nasrudin Mohammed (kiri) melancarkan VCEC di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA – Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) disaran memainkan peranan penting dalam membangunkan semula kepercayaan kepada sistem pendidikan negara agar terus berdaya saing.

Saranan itu dizahirkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang antara lain turut menyifatkan ia sebagai amanah nasional dan harus dilaksanakan demi negara.

Mohamed Khaled berkata, usaha membangunkan semula kepercayaan itu perlu diperhebatkan ekoran wujudnya kepercayaan menipis terhadap universiti sejak dua dekad lalu.

“Kita harus mengakui bahawa defisit kepercayaan terhadap IPTA bukan sekadar persepsi tetapi realiti yang mana kepudaran keyakinan wujud kerana masyarakat melihat IPTA tidak bergerak sederas perubahan sekelilingnya.

“Kerana itu, saya ingin bertemu semua Pengerusi dan Ahli LPU kerana kementerian tidak boleh mendepani segala kritikan, kepudaran kepercayaan dan kesusutan keyakinan secara bersendirian.

“Kementerian juga tidak boleh membangunkan keunggulan IPTA tanpa dukungan semua pihak.

“Jadi, IPTA dan LPU harus ambil tanggungjawab bangunkan semula kepercayaan sistem pendidikan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Suai Tugas Strategik Ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam (SOfBoD) di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini semalam.

Mohamed Khaled (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama Ahli LPU selepas SOfBoD.

SOfBoD menetapkan objektif memperkasakan kompetensi kritikal LPU agar seiring dengan kemajuan trend dan keperluan teknologi pendidikan tinggi global selain membantu kumpulan itu memahami peranan ditetapkan.

Turut dilancarkan adalah Modul Vice Chancellor Executive Coaching (VCEC), garis panduan kepada coach dalam mengendalikan sesi coaching kepada Naib Canselor yang dipilih.

Susulan itu, Mohamed Khaled menggariskan beberapa peranan dan tanggungjawab utama Pengerusi dan Ahli LPU menjadi wakil kerajaan serta kepentingan awam dalam IPTA.

“Ini bukan kerja dan tanggungjawab biasa-biasa. Ia adalah a sacred duty untuk bangsa dan tanah air.

“Kerana itu, anda semua memikul peranan demi memastikan apa jua hala tuju, keputusan dan pertimbangan dibuat IPTA kita selari serta sehala dengan kepentingan nasional,” jelasnya.

Selain itu, katanya, LPU juga disifatkan sebagai instrumen semak dan imbang yang penting bagi memastikan keputusan dibuat wajar selain mengutamakan kepentingan universiti serta negara.

“LPU mesti menjadi suara bebas yang bernas dan tegas yang mana ia boleh menyatakan kritikan, teguran dan tidak persetujuan.

“Paling utama, peranan LPU dalam semak dan imbang membantu mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap reputasi universiti sebagai gedung ilmu dan institusi awam yang penting.

Mohamed Khaled bersama Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Nasrudin Mohammed (kiri) melakukan gimik pelancaran VCEC.

“Atas dasar itu juga, saya menyarankan agar LPU diuruskan dengan lebih inovatif termasuk mempertimbangkan pengenalan pelbagai jawatankuasa di peringkat Lembaga Pengarah,” ujarnya.

Selain itu, Mohamed Khaled juga mahu LPU menggunakan pengalaman, pengaruh dan kepelbagaian jaringan dimiliki mereka untuk terus melonjakkan prestasi universiti.

“Melonjakkan keunggulan universiti memerlukan mobilisasi pengalaman, kepakaran dan network daripada semua pihak khususnya membangunkan jaringan industri, sektor perniagaan serta kerajaan.

“Melalui peranan sedemikian, kita akan dapat membebaskan universiti daripada bersifat terlalu akademik dan terpisah daripada realiti sekeliling,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mahu LPU menjadi pihak bermaklumat, berpengalaman dan terkini melalui pelbagai latihan serta program pembangunan kapasiti yang akan dijalankan.

“LPU bukan sahaja mengambil tanggungjawab lebih besar dan kritikal, tetapi perlu sentiasa meningkatkan ilmu, kepakaran dan pengalaman masing-masing.

“Dalam konteks ini, latihan dan pendedahan berterusan kepada anggota LPU sudah tidak boleh dielakkan dan perlu sentiasa dilatih dengan pelbagai kemahiran, ilmu dan pemerkasaan baharu.

“Dalam hal ini, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) perlu menjadi agensi dihormati selain program pembinaan kapasiti dilakukan mesti bertaraf dunia, bersifat kontemporari dan berupaya menjawab krisis kepimpinan IPT,” jelasnya.

Pada majlis sama, turut diadakan sesi perkongsian bertajuk Peranan, Fungsi dan Tanggungjawab LPU yang disampaikan Pengasas Bersama The iA Group Sdn. Bhd., Datuk Dr. Hamzah Kassim.

Program lain yang diatur adalah sesi forum yang dibarisi ahli-ahli panel seperti Pengerusi Majlis Lembaga Pengarah Universiti Awam, Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar; Pengerusi Lembaga Universiti Putra Malaysia, Datuk Ibrahim Komoo dan Pengarah MINDA Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI