SHAH ALAM – Pelakon Lutfyah Omar menyifatkan tuntutan mutaah sebanyak RM1 juta terhadap bekas suaminya Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum adalah sesuatu yang munasabah.
Lutfyah atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 38, berkata jumlah yang dituntut selepas mengambil kira kos sara hidup yang tinggi pada waktu sekarang.
“Tuntutan RM1 juta adalah permintaan saya atas beberapa faktor…kerana segala kos tinggi dan saya perlu merancang untuk hidup saya dan anak,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan semula tuntutan Mutaah itu di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Rashidah Saping@Shafie di sini hari ini.
Tuntutan berkenaan difailkan Lutfyah selaku plaintif terhadap Dr.Hafiz, 33, yang dinamakan sebagai defendan pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Lutfyah berkata, pihaknya telah pun menyerahkan semua penyata tuntutan kepada Dr. Hafiz.
“Hari ini, kita terima penyata pembelaan dan jawapan daripada pihak defendan (Dr. Hafiz), sebagai mana yang dinyatakan dalam tuntutan anak guam saya. Arahan seterusnya kita perlu menyediakan penyata keterangan dan ikatan dokumen,” katanya.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai ini bagi sebutan kes seterusnya.- KOSMO! ONLINE