JOHOR BAHRU – Lima loji rawatan air (LRA) di negeri ini berisiko berada di paras kritikal sekiranya keadaan fenomena El Nino berterusan sehingga Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Ir. Mohamad Fazli Salleh berkata, loji itu dikenal pasti setelah ia pernah mempunyai rekod kekurangan bekalan air ketika negeri berdepan situasi sama beberapa tahun dahulu.
Beliau berkata, ia melibatkan LRA Lok Heng dan Sungai Gembut di Kota Tinggi, LRA Bukit Batu (Kulai), LRA Tenglu (Mersing) dan LRA Sultan Iskandar (Johor Bahru).
“Kita telah memantau kadar air semasa di 16 empangan di seluruh negeri Johor dari masa ke semasa, lima LRA yang diberi tumpuan itu kerana pernah ada rekod air berkurangan yang kita jangka boleh turun ke paras kritikal sekiranya cuaca panas berpanjangan.
“Untuk itu, kita telah melakukan pelan mitigasi dengan meletakkan beberapa pam air seperti di Sungai Johor, Sungai Tiram, Tasik Biru Seri Alam selain projek pemindahan air mentah dari Sungai Lukah kira-kira 10 juta liter sehari.
“Tindakan ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan Fenomena El Nino berterusan sehingga Julai dan tidak ada taburan hujan dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Johor Corporation (JCorp) di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi Fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian itu pada 2015 dan 2016.
Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. – KOSMO! ONLINE