fbpx

Kes buli TUDM: Anggota boleh dibuang kerja jika sah terlibat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM di Wisma Perwira, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Mana-mana anggota yang disahkan terbabit dalam sebarang kes buli melibatkan agensi pertahanan boleh diambil tindakan sehingga dibuang kerja.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejadian buli itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan satu budaya yang biasa dilakukan.

“Tetapi perkara macam ini kadang-kadang berlaku. Malah di peringkat sekolah rendah juga ada kejadian buli. Jadi, kita harap supaya perkara-perkara ini elok diberhentikan.

“Kita akan menasihati anggota-anggota supaya jangan terlibat dengan perkara yang boleh menjadi kesalahan terutama dalam kita punya terma perkhidmatan.

“Namun, jika ia masih berlaku dan didapati ada anggota yang benar-benar terlibat dan tidak mengendahkan peraturan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sehingga membolehkan dia dibuang kerja” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan kedua-dua pihak iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pertahanan.

“Kita akan lihat nanti hasil daripada siasatan yang dilakukan kerana kita tak boleh terus menjurus kepada sesuatu perkara tanpa kita dapat tahu apa sebenarnya yang berlaku,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis bertindak memanggil lebih 10 individu untuk memberi keterangan berkaitan kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI